Options:

Pergolakan Politik Dunia Islam

          Dunia Islam sepanjang 2010 menyaksikan banyak perkembangan penting dalam politik, memberikan kesan yang mendalam kepada politik serantau. Daripada isu Palestin yang tidak pernah selesai hingga reaksi keras terhadap orang Islam semasa ulang tahun peristiwa serangan 11 September, 2001 di Amerika Syarikat. Isu berkaitan umat Islam dan dunia Islam menjadi antara wacana utama dunia sepanjang tahun 2010. Malangnya, sebahagian besar wacana masih berjalan di bawah tajuk terorisme.


 Kontroversi Ulang Tahun 11 September 2001 di Amerika Syarikat

      Ulang tahun kesembilan peristiwa serangan 11 September 2001 diingati dengan debat hangat berkaitan Islam yang dikaitkan dengan terorisme. Menjelang 11 September 2010, Paderi Terry Jones dari selatan Florida di Amerika Syarikat menyarankan supaya diadakan upacara pembakaran al-Quran sebagai protes terhadap Islam yang dikaitkan menjadi punca serangan sembilan tahun lalu. 

Kempen itu mendapat respons pegawai tertinggi Amerika Syarikat yang menggesa tindakan itu tidak dilakukan untuk mengelak kesan negatif terhadap tentera Amerika Syarikat di negara Islam lokasi operasi. Di bandar New York, kontroversi tercetus ekoran rancangan untuk membina sebuah pusat Islam dan masjid tidak jauh dari lokasi serangan 11 September, 2001.

Pengkritik melihat pembinaan itu sebagai ofensif manakala penyokong usaha itu menolak pandangan itu yang mengaitkan Islam secara terus dengan terorisme. Presiden Obama bersetuju dengan cadangan pembinaan pusat Islam itu. Debat yang tercetus menyaksikan masih ramai rakyat Amerika Syarikat mempunyai pandangan negatif terhadap umat Islam dan agama Islam.

Isu ini menjadi satu wacana agama yang hangat di Amerika Syarikat dan kesannya secara langsung terhadap imej Islam di negara itu dan juga kepada Presiden Obama. Isu yang tercetus ini bakal memberikan kesan terhadap keputusan pilihan raya pertengahan penggal Kongres Amerika Syarikat.


Serangan Kapal Mavi Marmara

Tindakan komando Israel menyerang kapal bantuan konvoi ke Gaza, Mavi Marmara, pada 31 Mei lalu memang menggemparkan. Episod pada subuh hari itu segera menghantar bukan sedikit kecaman, serta tidak kurang protes dari serata dunia yang mengutuk kezaliman Israel yang dianggap lanun antarabangsa itu.
12 orang rakyat Malaysia yang turut sama berada dalam konvoi kemanusian tersebut ditahan hampir dua hari sebelum dibebaskan. Israel telah menyerang Mavi Marmara dari udara dan laut. Atas alasan kapal tersebut menceroboh dan membawa senjata tajam, mereka diasak dengan serangan sehingga menyaksikan sembilan orang maut di tangan Israel.


Menurut Ahswadi Ismail, salah seorang rakyat Malaysia yang mengikuti bantuan konvoi tersebut, keangkuhan Israel adalah di luar batas kewarasan manusia namun sekurang-kurangnya serangan tersebut dapat menrungkai kemelut sebenar isu Palestin-Israel. Ashwad menegaskan bahawa masyarakat dunia seharusnya melihat permasalahan tersirat yang lebih besar di sebalik penahanan anak kapal Mavi Marmara dan bukan sekadar bersimpati terhadap nasib yang menimpa mereka mahupun menangisi penderitaan rakyat Palestin. Jelas Ashwad lagi, apa yang menimpa mereka adalah terlalu minimun sekiranya dibandingakan dengan penderitaan dan kezaliman berterusan yang dihadapi oleh rakyat Palestin.

Penindasan Palestin menginjak tahun demi tahun sedang pada masa yang sama Israel semakin rakus menghirup darah warga Palestin. Palestin merupakan kisah benar penjajahan manusia yang menyaksikan orang yang dijajah diperlakukan sewenang-wenangnya. Ironinya, penjajahan Palestin oleh Israel “dihalalkan” kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat serta mendapat restu dari sesetengah masyarakat dunia.




0 Comments so far »

Leave a comment